Info Madinah

SEJARAH DAN KELEBIHAN
MADINAH AL-MUNAWWARAH

Info Madinah

Ikuti Info Berkenaan Kota Madinah Di Facebook Berikut :

Madinah atau nama penuhnya Madinah Al-Munawwarah ialah salah sebuah kota yang terdapat di wilayah Hijaz, Arab Saudi. Madinah sekarang mempunyai populasi seramai lebih kurang sejuta orang. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepada Madinatun Nabi (Kota Nabi) ataupun Al-Madinah Al-Munawwarah (Kota Yang Bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud kota/bandar.

•••

 

Madinah ialah kota suci kedua bagi umat islam. Hal ini adalah kerana di Madinah terdapatnya Masjid Nabawi yang mana terdapat maqam Nabi Muhammad SAW. Kawasan itu dibina di atas tapak masjid nabawi yang asal iaitu Raudhah yang terletak bersebelahan rumah Nabi SAW. Rumah baginda kemudiannya menjadi termasuk di dalam bangunan masjid apabila permbesaran masjid dilakukan oleh Khalifah Al Walid Ibni Abdul Malik daripada kerajaan Umayyah. Masjid yang pertama dibina juga terdapat di Madinah iaitu Masjid Quba’.

SEJARAH

Sebelum kedatangan Islam, Madinah bernama Yathrib. Kota Madinah disebut Yathrib kerana orang yang pertama membuka Madinah ialah Yathrib Bin Qaniah Bin Mahla Bail Bin Iram Bin Obail. Ketika Rasulullah SAW masuk ke Madinah, baginda menggantikan nama Yathrib tersebut dengan Thaibah (طيبة) atau Thabah (طابة). Rasulullah SAW tidak suka dengan nama Yathrib kerana Yathrib berasal dari perkataan yang membawa maksud kerosakan, membalas dendam, mencerca atau mengeji.

•••

Ramai ahli sejarah percaya bahawa sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah, kota ini merupakan sebuah penempatan yang tidak maju seperti Makkah samada dari segi pembinaan, masyarakat dan sebagainya. Kawasan ini subur dengan tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan kaya dengan air. Hal ini menyebabkan Madinah dikunjungi dan akhirnya diduduki oleh manusia. Pada tahun 455 SM, suku-suku Arab dari utara mengunjungi dan akhirnya menetap di Yathrib.

•••

Jika menurut sumber-sumbr serta bahan-bahan rujukan sejarah, Yathrib sebelum hijrah hanyalah sebuah kumpulan komuniti masyarakat kecil khususnya selepas kedatangan Yahudi.

 

PENGHIJRAHAN DARI MAKKAH KE MADINAH

Pada hari Jumaat, 12 Rabi’ul Awal tahun pertama hijrah, berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Ramai orientalis barat menganggap tindakan ini ialah melarikan diri. Akan tetapi penghijrahan ini berlaku bukan kerana umat islam takut akan ancaman puak Quraisy Makkah tetapi adalah kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.

•••

Menurut sumber-sumber Islam yang autentik, Madinah mempunyai 2 puak yang berbeza (Aus dan Khazraj) di samping 3 buah suku Yahudi (Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, Bani Quraizhah. Suku Aus dan Khazraj menguasai kota Yathrib tetapi sering berbalah antara satu sama lain dan asyik berperang sesama mereka. Mengikut ahli sejarah islam, kedua-dua puak ini mengetahui akan kewujudan Rasul di Makkah dan pengikutnya sering diseksa oleh kaum Quraisy Makkah. Mereka membuat keputusan untuk berjumpa dengan Rasul ini untuk mengatasi konflik di antara mereka.

•••

Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya bersetuju untuk berhijrah ke Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah Al-Munawwarah. Selepas tiba di Madinah, Nabi Muhammad SAW merangka sebuah perlembagaan bagi menyatupadukan penduduk Madinah. Perlembagaan dipersetujui oleh semua penduduk Madinah dan dikenali sebagai Piagam Madinah.

 

PERANG MAKKAH - MADINAH

Selepas masyarakat islam bertapak kuat di Madinah, kaum Quraisy Makkah mula berasa terancam dengan kuasa baru ini. Pada tahun ke 5 hijrah, tentera Makkah di bawah pimpinan Abu Sufyan menyerang Madinah. Abu Sufyan dikatakan meminta pertolongan daripada Yahudi Bani Quraizhah bagi menewaskan kaum muslimin. Pertolongan Yahudi Bani Quraizhah terhadap Abu Sufyan telah melanggar perjanjian yang terdapat dalam Piagam Madinah. Oleh kerana itu, semua orang lelaki kaum itu dihukum bunuh setelah pengadilan dijalankan oleh Saad Ibni Muaz

•••

Madinah menjadi sebuah tempat di mana umat islam diserang atau menyerang musuh. Sehinggalah baginda SAW berjaya membuka kota Makkah pada Ramadhan tahun ke 8 Hijrah tanpa menumpahkan darah. Walaupon selepas Khulafa’ Ar-Rasyidin, Madinah terus menjadi ibu kota kerajaan Islam.

•••

Sejarah peperangan di Madinah:

  • Peperangan Badar : 17 Ramadhan Tahun Ke-2 Hijrah
  • Peperangan Bani Qainuqa’ : 15 Syawal Tahun Ke-2 Hijrah
  • Peperangan Banu Nadhir : Rabiul Awwal Tahun Ke-4 Hijrah
  • Peperangan Uhud : Syawal Tahun Ke-3 Hijrah
  • Peperangan Ahzab/Khandak : Syawal Tahun Ke-5 Hijrah
 

MADINAH SELEPAS KEWAFATAN NABI SAW

Di bawah pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin, empayar Islam berkembang dengan pantas sehinggakan tentera islam berjaya menakluk kota-kota yang penting sepert Damsyiq, Baitul Maqdis, Iskandariah dan Baghdad. Selepas kewafatan khalifah keempat, iaitu Saidina Ali Bin Abi Talib RA, Saidina Muawiyah yang pada ketika itu merupakan gabenor Damsyiq mengubah pusat pemerintahan Islam ke Damsyiq. Beliau kemudiannya menubuhkan dan mengasaskan kerajaan Umayyah. Kota Madinah kemudiannya hanya menjadi pusat keagamaan sahaja daripada menjadi pusat politik.

•••

Pada tahun 1924, Madinah yang sudah lama berada du bawah kekuasaan Uthmaniyyah jatuh ke tangan Ibnu Saud yang kemudiannya menjadi Raja Arab Saudi.

•••

Masjid Nabawi juga mengalami beberapa kali perubahan dari segi saiznya dan terkini boleh menampung lebih sejuta umat islam seluruh dunia. Di Madinah juga terdapat maqam Nabi SAW dan sahabat-sahabat Baginda, Abu Bakar, Uthman serta ahli keluarga Baginda yang lain.

ANTARA NAMA LAIN MADINAH

  •  Darul Hijrah
  • Darul Iman
  • Al-Haram
  • Jabirah
  • Marhumah
  • Al-Mahfuzah
  • Al-Qaryah
  • Al-Hasinah
  • Darus Salamah
  • Majburah
  • Al-Habibah
  • Al-Mahbubah
  • Al-Qasimah
  • Darus Sunnah
  • Hasanah
  • Yandad
  • Al-Dar
  • Al-Balad
  • Al-Iman

KELEBIHAN BUMI MADINAH

Antara kelebihan Madinah dalam sebuah Hadith Sahih Bukhari nombor 3926, Sahih Muslim Nombor 1376 :

Ya Allah, jadikanlah kami mengasihi Madinah sebagaimana kami mengasihi Makkah atau lebih lagi dan sihatkan Madinah (daripada wabak penyakit) dan berikanlah keberkatan kepada gantang dan cupaknya serta pindahkan humma (penyakit) di Madinah dan jadikanlah ia di Juhfah

•••

Madinah juga merupakan tanah haram sepertimana Makkah. Jika Makkah didoakan kelebihannya oleh Nabi Ibrahim, Madinah pula didoakan keberkatannya oleh Nabi Muhammad SAW.

•••

Kelebihan Madinah adalah Rasulullah SAW mendoakan kesihatan penduduk Madinah. Sekain dari itu, Madinah bebas dari ancaman kezaliman dan maksiat, Madinah juga terpelihara dari ancaman dajjal dan wabak taun.

•••

Hukum tanah haram Madinah adalah mencakupi haram menangkap binatang buruan dan memotong pokok. Membawa senjata, mengambil barang tercicir dan melintasi orang solat.

1) MADINAH SEBAGAI TANAH HARAM

Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Ibrahim mengharamkan Makkah, dan aku berdoa untuk keberkatan cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah

2) AMARAN MELAKUKAN MAKSIAT DI MADINAH

Sabda Rasulullah SAW : “Madinah adakah tanah haram, letaknya di antara bukit ‘Eir dan Bukit Thur; sesiapa yang melakukan kezaliman, atau melindung orang yang melakukan kezaliman di dalamnya, maka seluruh laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya; semua amalan baiknya samada yang wajib atau sunat, tidak diterima olh Allah pada hari qiamat.

3) BERSABAR MENANGGUNG KESUSAHAN DI MADINAH

Sabda Rasulullah SAW : “Mana-mana individu umatku yang bersabar menanggung kesusahan di Madinah, aku akan berikan syafaat kepadanya pada hari qiamat, atau aku akan menjadi saksi untuknya.

4) KELEBIHAN MATI DI MADINAH

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, hendaklah dilakukannya, sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di Madinah..

5) KELEBIHAN BELAJAR DI MASJID NABAWI

Sabda Rasulullah SAW : “Sesiapa yang memasuki masjid kami ini untuk mempelajari satu kebaikan atau mengajarkannya, ia adalah seperti Mujahid di jalan Allah, dan sesiapa masuk dengan tujuan lain adalah seperti orang yang melihat kecantikan barangan orang lain.”

6) MADINAH TERPELIHARA DARIPADA DAJJAL DAN TAUN

Sabda Rasulullah SAW : “Di setiap pintu masuk Madinah, terdapat malaikat yang mengawasi wabak taun dan dajjal daripada menyerang Madinah.

7) MADINAH SEBAGAI TAPAK IMAN

Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya iman akan kembali ke Madinah sebagaimana ular kembali ke lubangnya.”

8) KELEBIHAN SOLAT DI MASJID NABAWI

Sabda Rasulullah SAW : “Pahala solat di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada solat di masjid lain kecuali di Masjidil Haram.