Kenali Universiti Islam Madinah

Kenali Universiti Islam Madinah

Sejarah Penubuhan

Universiti Islam Madinah atau dalam bahasa arabnya الجامعة الإسلامية بالمدينة المنورة ialah sebuah institusi pengajian tinggi awam di Arab Saudi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi Arab Saudi yang ditubuhkan pada 29 Rabiul Awwal 1381 Hijri (6 September 1961). Universiti ini terletak di kota Madinah Al-Munawwarah berhampiran dengan Masjid Qiblatain, Madinah.

Penubuhan Universiti ini mengikut kepada keputusan keputusan rasmi Raja Saud Bin Abdul Aziz tentang pembangunan perguruan tinggi yang dikhaskan untuk mengkaji ilmu syariah dan keagamaan di Kota Madinah. Universiti Islam Madinah ditubuh berdasarkan keputusan Raja nombor 11 bersamaan 25 Rabiul Awwal 1381 Hijri yang disepakati oleh keputusan Raja nombor 21 bersamaan 16 Rabiul Akhir 1381 Hijri yang telah ditetapkan melalui pembentukan Majlis Musyawarah Tertinggi Universiti.

Tujuan Penubuhan Universiti Islam Madinah

  • Menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan pendidikan pada peringkat tinggi.
  • Menanam dan meningkatkan semangat islam serta memperdalamkan lagi amalan islam dalam diri masyarakat dan pelajar.
  • Universiti Islam Madinah dibangunkan atas rasa keikhlasan beribadah kepada Allah dan ketaatan kepada Rasul SAW
  • Untuk mengadakan kajian-kajian ilmiah dalam berbagai bidang keilmuan islam dan arab serta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kemanusiaan yang diperlukan oleh masyarakat islam secara meluas. Justeru, penubuhan Universiti Islam Madinah juga boleh memberi pengajaran kepada seluruh mahasiswa Islam yang datang daripada pelbagai negara dan sekaligus akan melahirkan para ulama yang cekap, bijak dalam ilmu-ilmu Islam demi menjalankan misi dakwah islam
  • Untuk menjalinkan hubungan ilmiah antara universiti dan institusi pendidikan yang lain di seluruh dunia serta merapatkan lagi hubungan pendidikan antara universiti sekaligus bagi merealisasikan tujuan penubuhan universiti Islam Madinah. 

Pintu gerbang Universiti Islam Madinah pada waktu malam

Program Pengajian Yang Ditawarkan

Bermula dengan program lanjutan (Maahad Mutawassit), kemudian, peringkat tinggi (Maahad Thanawi), seterusnya, Sarjana Muda, Pascasarjana (Diploma Tinggi), Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (Ph.D).

Mempunyai institusi pengajaran bahasa arab bagi orang yang bukan berbangsa arab yang diperuntukkan bagi calon mahasiswa yang belum mampu bertutur dalam bahasa arab. Seluruh peluang pendidikan terbuka luas untuk seluruh warga asing.

Maahad Thanawi didirikan pada tahun 1381 Hijri (1961), sedangkan Maahad Mutawassit dibangunkan lima tahun selepas penubuhan Maahad Thanawi iaitu pada tahun 1386 Hijri (1966). Kedua-dua maahad ini menawarkan matapelajaran keagamaan, bahasa arab, ilmu-ilmu sosial dan bahasa inggeris kepada mahasiswa.

Fakulti-Fakulti Yang Terdapat Di Universiti Islam Madinah

1. Fakulti Syariah

Fakulti yang pertama ditubuhkan di Universiti Islam Madinah. Kuliah pertama dibuka pada hari minggu tanggal 2 Jamadil Akhir 1381 Hijri (1961 Masihi). Mahasiswa yang berdaftar pada waktu itu seramai 85 orang. 

Pada tahun 2003, fakulti ini berjaya mengeluarkan 7616 graduan yang datang dari seluruh negara. Antara jurusan yang ditawarkan di fakulti ini ialah Fiqh, dengan menumpukan Feqh Mazhab Hanbali, tarikh tasyri’, Faraidh, Usul Fiqh dan Al-Qadha’ Wa Siasah Syar’iyyah dengan penumpuan utama ialah perkara yang berkaitan dengan politik islam, peradilan dalam islam dan sejarahnya.

Kuliah Syariah

2. Fakulti Dakwah Dan Usuluddin

Fakulti ini mula ditubuhkan pada tahun 1386 Hijri (1966 M). Fakulti ini bertujuan mengajar mengenai akidah islam yang murni dan mempersiapkan para daie yang menguasai ilmu-ilmu islam dan mampu melaksanakan tugas dakwah kepada agama Allah SWT. Para daie tersebut diharapkan dapat memberikan solusi terbaik bagi setiap permasalahan umat dengan menggunakan cara-cara berdakwah yang sesuai dengan realiti yang dihadapi. Ketika awal penubuhan, jumlah mahasiswa yang mendaftar di fakulti ini hanya 59 orang.

Jurusan yang tersedia di fakulti dakwah dan usuluddin :

  • Akidah, dengan fokus utama tauhid serta perbandingan agama
  • Dakwah, dengan kepakaran metode dakwah dan peranannya, Al-Ghazw Al-Fikr (Perang Ideologi) dan sejarah dakwah.
  • Sejarah Islam, dengan fokus utama sirah nabawiyyah, sejarah islam, realiti dunia islam dan sejarah kerajaan arab saudi
  • Pendidikan (Tarbiah), dengan fokus utama pendidikan islam, metod penelitian, metod pengajaran dan pendidikan.

Kuliah Dakwah Dan Usuluddin

3. Fakulti Al-Quran Dan Pengajian Islam

Fakulti ketiga yang terdapat di Universiti Islam Madinah. Fakulti ini ditubuhkan pada tahun 1394 Hijri (1974 M). Kuliah pertama diadakan pada hari Isnin bersamaan 6 Syawal 1934 Hijri. Fakulti ini merupakan fakulti Al-Quran pertama yang didirikan di dunia. Tujuan fakulti ini dibina adalah bertujuan untuk mempelajari al-quran secara komprehensif dan matang, baik dari segi hafalan mahupun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-quran seperti ilmu qiraat, ilmu rasm al-mushaf (penulisan al-quran) dan sebagainya. 

Fakulti ini berjaya ,melahirkan 283 graduan yang berasal dari 48 negara. Antara jurusan ditawarkan di fakulti ini ialah jurusan al-qiraat yang lebih menumpukan pada bidang pengajian al-quran dan jurusan tafsir yang menumpukan bidang-bidang yang berkaitan dengan ilmu tafsir seperti metod para ahli tafsir, ilmu-ilmu al-quran, tafsir maudhu’i dan ilmu mukjizat al-quran, pengajaran dan pendidikan.

Kuliah Al-Quran Dan Pengajian Islam

4. Fakulti Bahasa Arab

Fakulti ini ditubuhkan pada tahun 1395 Hijri (1975 M) atau setelah 14 tahun penubuhan Universiti Islam Madinah. Fakulti ini didirikan bertujuan untuk menjaga bahasa al-quran dan meningkatkan kemampuan penggunaan  bahasa arab dan memperdalam ilmu-ilmu serta nila-nilai sastera arab.

Fakulti ini berjaya melahirkan 1488 mahasiswa pada tahun pertama pembukaannya. Jurusan yang ditawarkan dalam fakulti ini ialah jurusan bahasa arab yang berkaitan dengan ilmu nahu, sorof, fiqh lughah wa al-maajim, dialek bahasa arab dan ilmu ‘arudh. Dalam pada itu juga, fakulti ini juga menawarkan jurusan balaghah dan sastera arab yang lebih menekankan tentang sastera arab dan teks arab, balaghah dan kitabah.

Kuliah Bahasa Arab

5. Fakulti Hadith Dan Pengajian Islam

Fakulti ini merupakan fakulti kelima yang ditubuhkan di Universiti Islam Madinah. Fakulti ini didirikan bertujuan untuk menjaga sunnah nabawiyyah, serta mempelajari dengan teliti ilmu tersebut dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian sehingga boleh melahirkan graduan yang terkenal dalam bidang hadith mahupun ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya.

Jumlah keseluruhan graduan yang berjaya lulus cemerlang dari fakulti hadith ini semenjak pertama kali didirikan ialah seramai 1926 orang yang berasal dari 95 buah negara. Jurusan yang ditawarkan di fakulti ini ialah jurusan fiqh sunnah dan jurusan ulum al-hadith.

Kuliah Hadith Dan Pengajian Islam

Sistem Pengajian Universiti Islam Madinah

Kaedah Pembelajaran [ 1.Pembelajaran Dalam Kuliah ]

Melalui kaedah ini, pensyarah akan menyampaikan kuliah secara spontan. Kemudian, membuka sesi untuk soal jawab berkaitan topik yang dibincangkan sekiranya kurang memahami isi pengajaran yang telah disampaikan itu. Para pelajar bolehlah bertanya mengenai subtopik-subtopik yang kurang faham itu dalam sesi soal jawab yang dibuka oleh pensyarah setelah pembentangan spontan dilakukan.

Kaedah Pembelajaran [ 2.Pembelajaran Luar Kuliah ]

Kaedah ini berlangsung di masjid-masjid khususnya masjid nabawi sekitar waktu maghrib hingga isyak. Menerusi kaedah pembelajaran luar kuliah ini, para pelajar akan mendengar kuliah dari ustaz atau masyaikh di masjid nabawi.

Aktiviti Pelajar

Universiti Islam Madinah menyediakan pelbagai aktiviti khusus dijalankan untuk para mahasiswanya. Antaranya ialah:

-Pertandingan menghafal mutun-mutun hadith, nahu, faraidh, fiqh, pertandingan masakan antarabangsa, liga antarabangsa, pesta buku antarabangsa peringkat universiti dan lain-lain lagi.

Program Pesta Kebudayaan

Sistem/Tahap Perkembangan Pengajian Islam Di Universiti Islam Madinah

Universiti Islam Madinah menawarkan kursus yang berfokuskan kepada program pengajian islam. Meskipun Universiti Islam Madinah hanya memfokuskan program pengajian Islam, namum ia tidak mnegabaikan ilmu-ilmu teknologi maklumat. Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan teknologi maklumat ini secara tidak langsung diterapkan dan disebarkan kepada para mahasiswa malah Fakulti Sains dan Teknologi telahpun dibuka di Universiti Madinah. Segala teknologi yang terkini sudah tidak asing lagi bagi para mahasiswa yang menuntut di universiti ini. 

Selain itu, pelbagai pusat perkembangan dan kemahiran telah diwujudkan sebagai kemudahan untuk para mahasiswa. Segala kemudahan ini disediakan bagi meningkatkan atau mengembangkan kemahiran yang sedia ada dalam diri mahasiswa. Antara kemudahan yang dimaksudkan ialah pusat kemahiran khat, pusat siber dan sebagainya. Bagi mahasiswa yang berbakat dalam seni khat. Mahasiswa tersebut bolehlah terus meningkatkan kemahiran tersebut tanpa mensia-siakan bakat yang disediakan. Dengan adanya kemudahan seperti ini, mahasiswa Umiversiti Madinah adalah setanding dengan mahasiswa lain di serata dunia.  

 

Perbezaan Sistem Pengajian Di Malaysia Dengan Pengajian Di Madinah

Sistem pengajian di Universiti Islam Madinah pada mulanya berbeza dengan sistem pengajian yang dijalankan di Malaysia. Sekitar tahun 1999 hingga tahun 2004, Universiti Islam Madinah telah menggunakan  sistem pengajian mengikut sistem tahunan yang terdiri daripada dua penggal . Dalam sistem ini , setiap mahasiswa perlu mempelajari kira – kira 14-16 subjek bagi setiap penggal. Setiap pnggal itu diperuntukkan sebanyak 50 markah . Manakala 50 markah yang lainnya adalah diperuntukkan bagi penggal yang berikutnya. Perkara ini menjadikan jumlah besar markah bagi kedua – dua penggal ialah 100 markah. Perkara inilah yang menjadi asas perbandingan bahawa sistem pengajian yang digunapakai oleh Universiti Islam Madinah pada mulanya sangat berbeza dengan sistem  pengajian yang digunakan di Malaysia. 

Namun  pada awal  tahun 2005 hingga sekarang , sistem pengajian yang digunakan oleh Universiti Islam Madinah mula menunjukkan perubahan. Perubahan yang dilakukan dalam sistm pengajian tersebut seakan akan sama dengan sistem pengajian di malaysia. Dalam sistm pengajian yang baru ini , setiap pelajar hanya akan blajar sebanyak 8 subjek. setiap subjek ini akan dinilai pada pemghujung semester dengan markah di dalam kelas sebanyak 40 peratus manakala markah semasa peperiksaan akhir sebanyak 60 peratus. Pada penghujung semester ini, jumlah markah yang dinilai ialah sebanyak 100 peratus. Hal ini menunjukkan sedikit persamaan dalam sistem pengajian yang digunakan oleh universiti – universiti di Malaysia. Bagi semester yang seterusnya pula, setiap pelajar juga akan  mengambil 8 subjek bagi satu semester. Subjek yang diambil ini juga akan dinilai pada hujung semester dengan jumlah 100 peratus. Manakala dari sudut kiraan gred, purata keseluruhan, Universiti Islam Madinah menggunakan purata 5.0 berbanding di Malaysia yang menggunakan gred purata 4.0